Sunday, July 31, 2011

Selamat berpuasa!

Friday, July 29, 2011

Guna orang dalam untuk mendapatkan kerja?

Kesukaran mendapatkan kerja pada zaman sekarang menyebabkan adanya cara pintas, walaupun cara pintas itu mungkin menganiayai orang lain. Antaranya, menggunakan orang dalam atau istilah lain, ‘kabel’.

Terdapat sesetengah calon yang tahu, bahawa mereka mungkin sukar mendapat kerja, menggunakan orang dalam agar kerja itu menjadi milik mereka. Sama ada mereka tidak layak kerana ada orang lain yang lebih layak, atau persaingan yang terlalu sengit.

Bolehkah menggunakan ‘kabel’?

Persoalannya, bolehkah menggunakan orang dalam? Adakah halal pendapatan dari kerja seperti ini? Tidakkah ia menganiayai orang lain yang bertungkus lumus mencari kerja, tanpa menggunakan orang dalam?

Bagi saya, jawapannya agak subjektif. Terpulang kepada individu tersebut. Jika dia memang tidak layak dan terdapat orang lain yang lebih layak, maka memang dia telah menganiayai orang lain kerana mendapatkan kerja secara tidak sah.

Tetapi jika dia layak dan bekerja bersungguh-sungguh selepas mendapat kerja itu, boleh dia menggunakan orang dalam. Kadang-kadang kita sendiri nak bekerja dengan orang yang kita kenali dan yakin, walaupun orang lain pun tidak kurang hebatnya dan ada kelulusan yang setanding.

Ada juga orang lain yang hanya akan menggunakan orang dalam jika untuk kerja yang diidamkannya sahaja. Mungkin dia boleh sahaja mendapatkan kerja lain dengan mudah, tapi kerja tersebut tak diminati. Justru, dia tidak mahu mengambil hak orang lain yang berusaha mendapatkan kerja kerana terdesak.

p.s: terpulanglah..yang penting, jaga amanah dalam pekerjaan..

Wednesday, July 27, 2011

Sana, sini atau di tengah?

Bersekolah di sekolah menengah agama, pada mulanya membuatkan aku condong kea rah sana. Malah aku pernah mengutuk orang sini di depan mak ayah aku.

Tapi masa yang berjalan membuatkan aku menilai semula pendirian aku. Melanjutkan pengajian ke sebuah universiti tempatan memberikan kesempatan aku menambahkan pengalaman berinteraksi dengan kedua belah pihak.

Pilihan raya kampus menyaksikan kepincangan kedua belah pihak. Pihak sana dengan penggunaan kuasanya dan menyekat demokrasi kampus. Segala tentangan yang dihadapi, dibalas dengan penyalahgunaan kuasa dan menekan pihak lawan agar tidak terus membangkang.

Pihak sini dengan pemikiran yang fanatik, menggunakan pendekatan dengan memaksa agar seorang rakan aku menyokong mereka. Dia yang dipaksa, terus menjadi orang tengah sampai sekarang. Dia tidak menyokong pihak sana, tetapi tidak suka dengan pendekatan pihak sini dengan paksaan.

Belia di tengah

Aku yakin ramai belia dan pemuda di luar sana berada di tengah. Maksudnya? Tidak berpihak mana-mana pihak.

Aku kata begitu sebab seorang rakan rapat aku tidak mendaftar sebagai pengundi. Malah, keluarganya sendiri tidak memaksa.

Seorang rakan sejawatan aku pula tidak mendaftar kerana keluarganya langsung tidak mendaftar. Dia mendakwa, dia neutral.

Belia sekarang tidak suka politik yang mengutuk, memecah-belahkan masyarakat. Asyik bergaduh, gila kuasa dan tidak menjalankan tugas apabila dipilih. Sana dan sini sama sahaja. Tiada beza.

p.s: faham ke apa yang aku nak sampaikan ni?..

Wednesday, July 20, 2011

Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran baru

Terbiar tanpa guru besar selama hampir 2 minggu, akhirnya jawatan paling penting di sekolah diisi apabila hari ini (Rabu, 20 Julai 2011) menyaksikan kehadiran Guru Besar dan PK 1 yang baru.

Bersaranya PK 1 (Pentadbiran) pada 14 Jun 2011 yang lalu menyebabkan tugas PK 1 di ambil alih sementara oleh PK HEM untuk mencari guru ganti bagi kelas yang ketiadaan guru setiap hari.

Beban tugas PK HEM makin bertambah apabila Guru Besar yang berkhidmat selama hampir 5 tahun di SK Kampong Salang turut bersara wajib pada umur 58 tahun, pada 4 Julai 2011 yang lalu.

Sebagai guru paling kanan dalam pentadbiran sesebuah sekolah, PK HEM memikul tugas sementara sebagai PK 1 dan Guru Besar. Manakala PK Kokurikulum di bawah PK HEM.

Sporting?

Mendengar khabar angin (belum pasti) dari beberapa orang guru, Guru Besar dan PK 1 adalah orang yang tidak terlalu strict, mengikut peraturan dan agak bertimbang rasa. Hanya sekadar melaporkan diri pada hari ini, mereka akan datang semula pada Isnin depan (25 Julai 2011).

Malah, mantan Guru Besar SK Kampong Salang yang ku temui di Restoran Sarang Burung turut mengatakan kami, para guru SK Kampong Salang bertuah kerana mendapat Guru Besar dan PK 1 yang tidak terlalu strict.

Tidak sempat untuk bertanyakan lebih lanjut bagaimana beliau mendapat tahu mengenai berita ini, aku hanya berlalu pergi dan hanya dapat menunggu kehadiran Isnin depan untuk mengenali mereka..