Dare to fail, bermaksud berani gagal. Ia adalah tajuk bagi sebuah buku motivasi dari Singapura, karangan Billi Lim.
Berani gagal mengajar kita supaya tidak takut menempuh kegagalan dalam usaha kita. Ia bertitik tolak dari persepsi kebanyakan kita yang menganggap bahawa gagal itu adalah pembunuh bagi kejayaan.
Sebenarnya, konsep berani gagal perlu disertakan dengan rancangan alternatif dan usaha yang terbaik. Selepas segala-galanya telah dilakukan, barulah kita berserah kepada-Nya walau apapun hasilnya.
Bertindak sebaik mungkin, rancang tindakan alternatif dan bersedia untuk sebarang hasil, yang buruk mahupun yang baik.
Masalahnya, banyak orang yang tidak bertindak kerana mahu menghindari kegagalan yang mungkin akan diterima. Umpama orang yang takut melompat melepasi satu lubang yang jauh, dia akan hanya melihat. Yang paling teruk, terdapat juga sebilangan orang yang menghasut dan memperlekehkan orang yang mahu melompat.
Tanpa melalui kegagalan, hati kita takkan menjadi kuat, berani dan cekal. Dengan kegagalan, kita dapat mengetahui kelemahan dan kekurangan kita. Berani gagal bukan sekadar berani gagal tanpa sebarang usaha, tapi disertai dengan rancangan alternatif dan tawakal setelah sehabis usaha kita lakukan.
Berani gagal, berani mencuba, berani memulakan. Bukan hanya berani gagal, tapi berani dalam setiap tindakan positif.
p.s; Buat sehabis baik, bersedia dengan kegagalan. Itulah makna berani gagal.
No comments:
Post a Comment