Wednesday, July 14, 2010

ESQ sesat?

Minggu ni, timbul semula isu ESQ sesat. Jemu aku membacanya. Pelbagai pandangan yang diutarakan oleh banyak orang. Pelbagai latar belakang orang yang memberikan ulasan. Ada yang menyokong, tak kurang yang membangkang.

ESQ diharamkan di WPKL

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam manakala mufti negeri-negeri lain tidak mengharamkannya. Ini bermakna ESQ tidak dibenarkan untuk menjalankan program latihan yang ditawarkan syarikat itu di Wilayah Persekutuan sahaja.

Agak kelakar bila terdapat golongan artis yang berpendapat, pengisian modul ESQ tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Jika benar ia dapat menginsafkan mereka, mengapa masih berpakaian mendedahkan aurat dan bersentuhan dengan lelaki ajnabi?

Sekadar percanggahan pendapat

Pendapat mengenai terpesong dan menyelewengnya pengisian dalam modul program motivasi ESQ hanyalah sekadar percanggahan dan perbezaan pendapat. Tak perlu terlalu mengutamakan percanggahan itu sendiri.

Mufti sesebuah negeri memberikan sesuatu fatwa berdasarkan ilmu yang dimilikinya. Dia bertindak demi kemaslahatan dan keutamaan orang ramai. Pandangannya haruslah dihormati dan diikuti.

Walaupun begitu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa ESQ boleh terus dilaksanakan di Malaysia dengan syarat ada pengawasan sepenuhnya panel syariah yang dilantik ESQ. Secara langsung, bermaksud orang ramai tidak perlu risau mengenai pengisian modul tersebut.

Haram 100%?

Meneliti fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang mengharamkannya, terdapat lebih kurang 10 faktor yang didapati menyeleweng. Namun, perkara yang menyeleweng dan terpesong itu boleh mengakibatkan keseluruhan modul itu menjadi haram diikuti, walaupun tidak diketahui apakah 10 perkara tersebut?

Justeru, adalah satu langkah yang bijak apabila terdapat saranan agar modul ESQ diperbaiki dan diperjelaskan agar lebih menepati syariat. Antaranya, dengan melantik panel syariah ESQ yang akan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan itu hendaklah dilaporkan secara berterusan kepada muzakarah (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan).

Panel syariah ESQ yang dilantik oleh pihak ESQ dan direstui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ialah tokoh agama dan ahli akademik seperti bekas Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mustafa Abdul Rahman (ketua); Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut; bekas Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbullah Abdul Halim; bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib dan Dekan Fakulti al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Adnan Yusof.